Saturday, December 6, 2008

Nabi Ibrahim

Ibrahim telah dipilih oleh Allah untuk menjadi seorang Nabi dan imam, atau ketua, bagi manusia. Baginda adalah seorang yang lurus, tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu atau sesiapa, dan sentiasa mensyukuri akan rahmat Allah. Baginda diberi petunjuk pada jalan lurus, dan telah diambil oleh Allah sebagai seorang sahabat. Baginda bersifat lembut hati, penyantun, berkesesalan, dan sabar.
Keluarga Nabi Ibrahim bersama keluarga Imran, dan Adam dan Nuh, telah dipilih Allah untuk berada di atas semua alam. Mereka adalah keturunan satu sama lain.
Keluarga Nabi Ibrahim telah diberi oleh Allah Kitab dan Kebijaksanaan (Hikmah), serta kerajaan yang besar. Kitab Nabi Ibrahim berbentuk naskhah gulungan.
Yakin
Tuhan telah memperlihatkan kepada Ibrahim dominion langit dan bumi, supaya dia menjadi seorang yang yakin. Suatu malam, Ibrahim melihat satu bintang. Dia berkata "Ini Pemeliharaku (Tuhanku)." Tetapi apabila ia terbenam, dia berkata, "Aku tidak menyukai yang terbenam." Lalu baginda menolak bintang itu sebagai Tuhannya.
Kemudian dia melihat bulan terbit. Dia berkata, "Ini Pemeliharaku." Tetapi apabila ia terbenam, dia berkata, "Jika Pemeliharaku tidak memberi petunjuk kepada aku, tentu aku menjadi daripada kaum yang sesat." Bulan juga ditolaknya sebagai Tuhan.
Akhir sekali, baginda melihat matahari terbit. Dia berkata, "Inilah Pemeliharaku; ini lebih besar!" Tetapi apabila ia terbenam, baginda menolaknya juga sebagai Tuhan.
Demikianlah Allah memberi petunjuk kepadanya, bahawa Tuhan yang sebenar ialah Dia yang memulakan langit dan bumi.
Namun, hatinya tidak tenteram. Maka dia memohon, "Wahai Pemeliharaku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang-orang yang mati."
Tuhan bertanya, "Kenapa, tidakkah kamu mempercayai?"
Ibrahim menjawab, "Ia, tetapi supaya hatiku tenteram."
Lantas Tuhan menyuruhnya menjinakkan empat ekor burung, dan kemudian letak burung-burung itu di atas beberapa buah bukit. Selepas itu Ibrahim disuruh memanggil mereka yang tentu datang kepadanya dengan segera. Begitulah Tuhan mengajar Nabi Ibrahim tentang Hari Kiamat.
Bapa
Bapa Ibrahim, yang bernama Azar, menyembah patung. Ibrahim bertanya kepada ayahnya, "Adakah kamu mengambil patung-patung untuk tuhan-tuhan? Aku melihat kamu dan kaum kamu dalam kesesatan yang nyata."
Seterusnya dia berkata, "Ayah, mengapa kamu sembah apa yang tidak mendengar dan tidak melihat, dan tidak juga berguna kepada kamu sedikit pun? Ayah, telah datang kepadaku pengetahuan yang tidak datang kepadamu; maka ikutlah aku, dan aku akan memberi petunjuk kepadamu pada jalan yang datar. Ayah, janganlah menyembah syaitan; sesungguhnya syaitan adalah penentang Yang Pemurah. Ayah, aku takut bahawa sebahagian azab daripada Yang Pemurah akan menyentuh kamu supaya kamu menjadi sahabat syaitan."
Bapanya menjawab, "Apa, adakah kamu mengundurkan diri daripada tuhanku, wahai Ibrahim? Sungguh, jika kamu tidak berhenti, aku akan merejam kamu; maka tinggalkanlah aku untuk beberapa waktu."
Ibrahim berkata, "Kesejahteraan ke atas kamu! Aku akan meminta ampun untuk kamu kepada Pemeliharaku; sesungguhnya Dia sangat baik kepadaku. Dan aku akan menjauhkan diri daripada kamu, dan apa yang kamu seru, selain daripada Allah; aku berseru kepada Pemeliharaku, mudah-mudahan aku tidak menjadi, dalam doaku kepada Pemeliharaku, sengsara."
Kaum
Kaumnya juga menyembah patung, seperti bapanya. Kepada kaumnya Ibrahim berkata, "Sembahlah Allah, dan takutilah Dia; itu lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. Kamu hanya menyembah, selain daripada Allah, berhala-berhala, dan kamu mencipta kedustaan; sesungguhnya orang-orang yang kamu sembah, selain daripada Allah, tidak berkuasa untuk memberi rezeki kepada kamu. Maka carilah rezeki kamu di sisi Allah, dan sembahlah Dia, dan berterimakasihlah kepada-Nya; kepada-Nya kamu akan dikembalikan. Tetapi, jika kamu mendustakan aku, umat-umat sebelum kamu telah mendustakan; dan hanyalah atas rasul untuk menyampaikan yang jelas."
Kaumnya mendebatnya. Dia berkata, "Adakah kamu hendak mendebat aku mengenai Allah, dan Dia telah memberi petunjuk kepadaku? Aku tidak takut pada apa yang kamu menyekutukan dengan-Nya, kecuali jika Pemeliharaku menghendaki sesuatu. Pemeliharaku merangkumi segala sesuatu dalam pengetahuan-Nya; tidakkah kamu mengingatinya? Bagaimanakah aku boleh takut pada apa yang kamu menyekutukan, sedang kamu tidak takut bahawa kamu mempersekutukan Allah dengan apa yang Dia tidak menurunkan kepada kamu sebarang kuasa? Manakah antara dua golongan yang lebih berhak dengan keamanan jika kamu mengetahui?"
Itu adalah hujah yang Tuhan beri kepada Ibrahim terhadap kaumnya.
Bapa dan Kaum
Ibrahim telah juga berdebat dengan bapa dan kaumnya, kedua-duanya sekali. Beliau bertanya "Apakah yang kamu sembah?"
Mereka menjawab, "Kami menyembah patung-patung, dan tetap bertekun padanya."
"Adakah mereka mendengar kamu apabila kamu menyeru? Atau mereka memanfaatkan kamu, atau memudaratkan?" tanya Ibrahim lagi.
Mereka menjawab, "Tidak, tetapi kami mendapati bapa-bapa kami berbuat seperti yang demikian."
Seterusnya Ibrahim menyatakan bahawa mereka dan bapa-bapa mereka berada dalam kesesatan yang nyata, dan dia melepaskan diri daripada apa yang mereka sembah.
Ibrahim menjelaskan mengapa dia menyembah Tuhan, iaitu kerana Dia "Pemelihara semua alam, Yang mencipta aku, dan Dia, Dia Sendiri memberi petunjuk kepadaku, dan Dia, Dia Sendiri memberi aku makan dan minum, dan setiap kali aku sakit, Dia menyembuhkan aku, Yang mematikan aku, kemudian menghidupkan aku, dan yang aku menginginkan akan mengampuni aku atas pelanggaranku pada Hari Agama (Pengadilan)."
Memecahkan patung-patung
Ibrahim ditanya pula, "Apa, adakah kamu datang kepada kami dengan yang benar, atau kamu antara orang-orang yang bermain-main?"
Beliau menjawab, "Tidak, tetapi Pemelihara kamu ialah Pemelihara langit dan bumi, yang memulakan mereka, dan aku adalah antara orang-orang yang menyaksikan atas yang demikian. Dan, demi Allah, sungguh aku akan membuat tipu muslihat terhadap patung-patung kamu, setelah kamu pergi memalingkan belakang kamu."
Setelah mereka berpaling daripada dia, dia menghalakan pandangan memandangi bintang-bintang, lalu dia berkata, "Sesungguhnya aku sakit."
Kemudian dia beralih kepada tuhan-tuhan mereka, dan menyoal, "Apakah yang kamu makan? Kenapa kamu tidak berkata-kata?"
Selepas itu dia memukul mereka dengan tangan kanannya, memecahkan mereka kepada kepingan-kepingan kecil, kesemuanya, kecuali sebuah yang besar yang mereka ada, supaya mereka kembali kepadanya.
"Siapakah yang melakukan ini terhadap tuhan-tuhan kita? Sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang zalim."
Antara mereka yang kembali berkata, "Kami mendengar seorang pemuda yang menyebut-nyebut mereka, dan dia dikatakan Ibrahim."
"Datangkanlah dia ke hadapan mata manusia supaya mereka mempersaksikan."
Setelah Ibrahim didatangkan, mereka bertanya, "Adakah kamu yang melakukan ini kepada tuhan-tuhan kami, wahai Ibrahim?"
"Tidak, yang besar ini antara mereka yang melakukannya. Tanyalah mereka, jika mereka boleh berkata-kata."
Dengan itu kepala mereka ditundukkan, "Sesungguhnya kamu mengetahui bahawa ini semua tidak berkata-kata."
"Apa, adakah kamu menyembah, selain daripada Allah, apa yang tidak bermanfaat kepada kamu sedikit pun, dan tidak juga memudaratkan kamu? Cis, kepada kamu, dan apa yang kamu sembah selain daripada Allah! Tidakkah kamu faham?" sahut Ibrahim.
Mereka berkata, "Bakarlah dia, dan tolonglah tuhan-tuhan kamu, jika kamu hendak melakukan."
"Binalah satu bangunan untuknya, dan lemparlah dia ke dalam Jahim!"
Tetapi api yang panas itu dijadikan dingin oleh Tuhan dengan perintah, "Wahai api, jadilah dingin dan keselamatan untuk Ibrahim!"
Dan Ibrahim berkata, "Kamu mengambil untuk kamu hanyalah berhala-berhala, selain daripada Allah, sebagai tanda kasih sayang antara kamu dalam kehidupan dunia; kemudian pada Hari Kiamat, sebahagian kamu akan tidak percaya kepada sebahagian yang lain, dan kamu melaknatkan satu sama lain, dan tempat menginap kamu ialah Api, dan kamu tidak ada penolong-penolong."
Korban
Kemudian Tuhan memberikan dia berita gembira dengan seorang anak lelaki yang penyantun. Anak itu ialah Nabi Ismail.
Apabila Ismail sampai umur untuk berusaha bersama dia, dia berkata, "Wahai anakku, aku melihat dalam tidurku bahawa aku mengorbankan kamu; renungkanlah; apakah pandangan kamu?"
"Wahai ayahku, buatlah apa yang kamu diperintahkan; kamu akan mendapati aku, jika Allah mengkehendaki, termasuk orang-orang yang sabar."
Apabila mereka telah tunduk patuh, dan dia mengayunkannya di atas keningnya, Tuhan memanggilnya, "Wahai Ibrahim, kamu telah mengesahkan visi; begitulah Kami membalas orang-orang yang berbuat baik. Ini benar-benarlah ujian yang nyata."
Ismail ditebus dengan suatu korban yang besar.
Raja
Nabi Ibrahim telah berdebat lagi tetapi kali ini dengan seorang yang Tuhan beri kerajaan, iaitu seorang raja. Baginda berkata kepadanya "Pemeliharaku ialah Dia yang menghidupkan dan mematikan."
Raja itu membalas, "Aku menghidupkan dan mematikan!"
Baginda menegaskan, "Allah mendatangkan matahari dari timur, maka datangkanlah ia dari barat!"
Maka raja yang tidak percaya itu tercengang.
Haji
Nabi Ibrahim diingati juga kerana pembinaan Rumah, atau Kaabah. Tuhan telah menempatkan Rumah tersebut untuk Ibrahim. Tuhan membuatkan Rumah untuk menjadi tempat berkunjung bagi manusia, dan tempat aman, dan untuk orang-orang yang mengelilinginya, dan orang-orang yang bertekun (iktikaf), dan orang-orang yang tunduk, orang-orang yang sujud, dan medan Ibrahim pula dibuat untuk tempat solat.
Tuhan juga berpesan, "Janganlah kamu menyekutukan Aku dengan sesuatu. Dan kamu bersihkanlah Rumah-Ku ...... Dan serulah manusia kepada Haji, dan mereka akan datang kepada kamu berjalan kaki, dan di atas tiap-tiap haiwan yang kurus, mereka datang dari tiap-tiap jurang yang dalam."
Dasar-dasar Rumah tersebut telah dinaikkan bersama anaknya Ismail. Apabila mereka menaikkannya, Ibrahim berdoa, "Wahai Pemelihara kami, terimalah ini daripada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Mendengar, Yang Mengetahui, Wahai Pemelihara kami, buatlah kami muslim (tunduk patuh) kepada Engkau, dan daripada keturunan kami, umat yang muslim kepada Engkau; dan perlihatkanlah kepada kami peribadatan kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Menerima Taubat, Yang Pengasih. Wahai Pemelihara kami, bangkitkanlah di kalangan mereka seorang rasul, seorang daripada mereka, yang akan membacakan mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajar mereka al-Kitab dan Kebijaksanaan, dan menyucikan mereka; sesungguhnya Engkaulah Yang Perkasa, Yang Bijaksana."
Itu adalah "Rumah yang pertama diletakkan bagi manusia ialah yang di Bakkah, yang diberkati, dan menjadi petunjuk bagi semua alam. Padanya bukti-bukti yang jelas - medan Ibrahim, dan sesiapa memasukinya dia berasa aman. Adalah kewajipan manusia terhadap Allah untuk datang berhaji ke Rumah, jika dia boleh membuat jalannya ke sana. Dan orang yang tidak percaya - maka sesungguhnya Allah Kaya daripada semua alam."
Tamu yang mulia
Malaikat-malaikat telah datang kepada Ibrahim membawa dua berita. Mereka memberi salam berbunyi, "Salam!"
Ibrahim menyahut, "Salam! Kamu adalah kaum yang aku tidak kenal." Kemudian dia beralih kepada keluarganya, dan mendatangkan seekor anak lembu yang gemuk. Dia meletakkannya di hadapan mereka.
Apabila dia melihat tangan-tangan mereka tidak sampai padanya, dia memandang aneh pada mereka, dan dia sangsi terhadap mereka, dan berasa takut.
Tamu yang mulia itu berkata, "Jangan takut; sesungguhnya kami memberi kamu berita gembira dengan seorang anak lelaki yang alim (bijak)."
"Apa, adakah kamu memberi aku berita gembira walaupun umur tua telah menyentuhku? Dengan apakah kamu memberi aku berita gembira?"
Mereka berkata, "Kami memberi kamu berita gembira yang benar. Janganlah kamu termasuk orang-orang yang berputus asa."
Kemudian isterinya yang sedang berdiri dekat, tampil ke muka, tertawa dengan bising, dan dia memukul mukanya, seraya berkata, "Celakalah aku! Adakah aku akan beranak padahal aku sudah tua, dan suamiku ini seorang yang tua? Sesungguhnya ini sesuatu yang ajaib."
Dia juga berkata bahawa dia adalah "Seorang perempuan tua yang mandul!"
Mereka berkata, "Apa, adakah kamu berasa hairan pada perintah Allah? Pengasihan Allah dan keberkatan-Nya ke atas kamu, wahai ahli Rumah! Sesungguhnya Dia Terpuji, Indah."
Anak yang dilahirkan selepas itu ialah Nabi Ishak, bapa kepada Nabi Yaakub.
Lut
Seterusnya Ibrahim bertanya, "Dan apakah urusan kamu, wahai para utusan?"
Mereka berkata, "Kami diutus kepada kaum yang berdosa, untuk mengutuskan kepada mereka batu-batu daripada tanah liat, yang ditanda di sisi Pemelihara kamu untuk orang-orang yang membazir (berlebihan)."
Mereka diutus untuk memusnahkan penduduk bandar raya itu kerana mereka berlaku zalim. Penduduk di situ mendatangi lelaki bukan perempuan dalam kepuasan nafsu mereka.
Ibrahim teringat bahawa Lut berada di dalamnya. Baginda berkata "Lut di dalamnya."
"Kami sangat mengetahui siapa di dalamnya. Kami akan menyelamatkan dia dan keluarganya, kecuali isterinya; dia termasuk orang-orang yang tinggal."
Nabi Ibrahim cuba berdebat lagi, tetapi diberitahu, "Wahai Ibrahim, berpalinglah daripada ini. Sesungguhnya perintah Pemelihara kamu telah datang, dan datang kepada mereka azab yang tidak dapat dikembalikan."
Kisah Nabi Ibrahim di dalam al-Qur'an berakhir dengan sebutan mengenai dia dan Lut diselamatkan oleh Allah ke bumi yang diberkati bagi semua alam.
Ikut agama Ibrahim
Sebelum Nabi Ibrahim wafat, baginda telah mewasiatkan anak-anaknya berbunyi, "Wahai anak-anakku, Allah telah memilih untuk kamu agama; maka janganlah kamu mati kecuali dalam kemusliman."
Agama yang disebut di situ berupa tunduk patuh kepada Tuhan, iaitu agama Nabi Ibrahim. Baginda telah dari awal diperintah supaya tunduk patuh kepada Tuhan dengan firman yang berbunyi, "Apabila Pemeliharanya berkata kepadanya, 'Tunduk patuhlah', dia berkata, 'Aku menundukkan diriku kepada Pemelihara semua alam.'" (2:131)
Agama Nabi Ibrahim harus diikuti kerana tiada yang lebih baik daripadanya. Demikian menurut firman Tuhan bermaksud, "Dan siapakah yang lebih baik anutannya daripada orang yang menundukkan wajahnya (kehendaknya) kepada Allah, sedang dia seorang yang berbuat baik, dan yang mengikuti agama Ibrahim, seorang yang lurus? Dan Allah mengambil Ibrahim sebagai seorang sahabat." (4:125)
Mereka yang enggan mengikuti agamanya dikatakan pula sebagai orang-orang yang memperbodohkan diri-diri mereka sendiri. Nabi Muhammad sendiri telah diperintah oleh Allah supaya mengikuti kepercayaan Nabi Ibrahim. Firman-Nya, "Kemudian Kami mewahyukan kamu (Muhammad), 'Ikutlah anutan Ibrahim, seorang yang lurus, dan bukan orang yang menyekutukan.'" (16:123)
Pada Nabi Ibrahim dan orang-orang yang bersama baginda terdapat contoh teladan yang baik. Mereka menolak semua yang disembah, atau yang ditaati dalam agama, melainkan Allah sahaja. Firman Allah,
"Kamu ada teladan yang baik pada Ibrahim, dan orang-orang yang bersama dia, apabila mereka berkata kepada kaum mereka, 'Kami berlepas diri daripada kamu dan apa yang kamu sembah selain daripada Allah. Kami tidak percaya kepada kamu, dan antara kami dan kamu, permusuhan adalah nyata, dan kebencian selama-lamanya, sehingga kamu mempercayai Allah satu-satunya.'" (60:4)
Selagi manusia tidak percaya kepada Allah satu-satunya, selama itu terbit permusuhan dan kebencian di kalangan mereka. Lantaran itu, ikutlah agama Nabi Ibrahim yang lurus, yang percaya kepada Allah satu-satunya.

No comments: