Saturday, December 6, 2008

Nabi dan Rasul

Nabi dan Rasul adalah orang-orang yang dipilih oleh Tuhan untuk menyampaikan ajaran-Nya yang terkandung di dalam Kitab kepada manusia. Nabi adalah juga Rasul kerana dia menyampaikan. Perkataan Rasul bermakna pembawa atau penyampai. Akan tetapi, bukan semua Rasul diangkat menjadi Nabi. Justeru itu, Nabi adalah lebih tinggi kedudukannya daripada Rasul. Nabi diberi Kitab dan telah membuat perjanjian dengan Allah, seperti yang diceritakan di dalam al-Qur'an berbunyi: "Dan apabila Allah mengambil perjanjian Nabi-Nabi, 'Bahawa Aku memberikan kamu Kitab dan Kebijaksanaan; kemudian akan datang kepada kamu seorang rasul, mengesahkan apa yang bersama kamu. Kamu akan mempercayainya, dan kamu akan menolongnya. Adakah kamu setuju?'" (3:81).
Perjanjian antara Nabi dan Allah di sini adalah untuk menolong Rasul yang datang kepada mereka, dan percaya kepada mereka, untuk menyampaikan Kitab Allah kepada manusia. Nabi dan Rasul adalah ramai, diutus dari semasa ke semasa sejak zaman purba lagi. Antara yang disebut oleh Allah adalah nama-nama yang disemadikan di dalam ayat-ayat berikut: "Dan Kami memberikan dia (Ibrahim) Ishak, dan Yaakub - masing-masing Kami memberi petunjuk. Dan Nuh, Kami memberi petunjuk sebelum itu, dan daripada keturunannya, Daud, dan Sulaiman, dan Ayub, dan Yusuf, dan Musa, dan Harun - begitulah Kami membalas orang-orang yang berbuat baik. Dan Zakaria, dan Yahya, dan Isa, dan Elias; masing-masing termasuk orang-orang salih. Dan Ismail, dan Alyasa, dan Yunus, dan Lut; masing-masing Kami melebihkan di atas semua alam." (6:84-86)
Dan Muhammad adalah juga Nabi dan Rasul disebut di dalam ayat lain, iaitu
33:40. Semua Nabi adalah handalan belaka. Manusia tidak dibenarkan membuatkan perbezaan antara mereka, misalnya, berkata bahawa Nabi Isa itu adalah lebih handal daripada Nabi Muhammad, atau berkata, Nabi Muhammad adalah Nabi yang paling mulia antara semua Nabi Allah. Larangan itu datang dari Tuhan, dengan ayat-Nya yang berbunyi, "Katakanlah, 'Kami percaya kepada Allah, dan apa yang diturunkan kepada kami, dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, dan Ismail, dan Ishak, dan Yaakub, dan puak-puak, dan apa yang diberi kepada Musa, dan Isa, dan apa yang diberi kepada Nabi-Nabi daripada Pemelihara mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun antara mereka, dan kepada-Nya kami muslim,'" (2:136).
Ayat
3:84 turut melarang amalan membeza-bezakan Nabi. Selanjutnya, manusia juga dilarang membuat perbezaan antara para Rasul Allah, seperti yang dijelaskan dalam ayat Tuhan, 2:285. Orang-orang yang tidak membuat perbezaan antara rasul-rasul-Nya akan diberi upah atau pahala oleh Tuhan (4:152).
Sebelum menamatkan penjelasan mengenai Nabi dan Rasul di sini, yang akan bersambung dalam cerita-cerita Nabi akan datang, disebut satu daripada sifat Nabi yang ditegaskan oleh Allah di dalam sebuah ayat, iaitu bahawa Nabi tidak menipu. Dia tidak bercakap bohong. Inilah bunyi ayat-Nya: "Tiadalah bagi seorang Nabi untuk dia menipu, dan sesiapa menipu akan datang dengan apa yang ditipukannya pada Hari Kiamat; kemudian tiap-tiap jiwa akan dibayar sepenuhnya apa yang ia mengusahakan, dan mereka tidak dizalimi." (3:161). Nabi Yahya
Tidak ramai antara para Nabi diceritakan ceritanya dari kecil di dalam al-Qur'an. Mereka yang diceritakan kisahnya semasa kanak-kanak adalah Nabi Musa, Yusuf, Isa dan Yahya. Nama Yahya disebut sebanyak lima kali di dalam al-Qur'an. Cerita bermula dengan bapa Nabi Yahya, bernama Zakaria, yang memohon kepada Tuhan agar dikurniakan seorang anak. Dua ayat Tuhan yang berikut mengisahkannya: "Dan Zakaria, apabila dia memanggil Pemeliharanya, "Wahai Pemeliharaku, janganlah meninggalkan aku sendirian, dan Engkau yang terbaik daripada pewaris-pewaris."Lalu Kami menyahutinya, dan Kami memberinya Yahya, dan Kami membetulkan isterinya untuknya; sesungguhnya mereka bersegera kepada kebajikan, dan berseru kepada Kami daripada rasa rindu dan rasa gerun, dan mereka merendah hati kepada Kami," (21:89-90).
Permintaannya ditunaikan oleh Allah kerana "mereka bersegera kepada kebajikan, dan berseru kepada Kami daripada rasa rindu dan rasa gerun, dan mereka merendah hati kepada Kami." Tuhan mengutuskan malaikat-malaikat kepada Zakaria untuk memberitahu tentang kedatangan anaknya, bernama Yahya, iaitu nama yang diberi sendiri oleh Tuhan, dan nama Yahya yang pertama di dunia.
Beginilah Allah menceritakannya dalam dua buah ayat:
"Dan malaikat-malaikat memanggilnya (Zakaria), sedang dia berdiri untuk menyembah di mihrab, 'Allah menyampaikan kepada kamu berita gembira dengan Yahya yang mengesahkan satu Kata Allah, dan seorang ketua, dan jujur serta suci daripada kejahatan nafsu berahi, dan seorang Nabi, dan seorang yang salih (baik).'" (3:39).
"Wahai Zakaria, Kami memberi kamu berita gembira mengenai seorang anak lelaki, namanya Yahya. Tiada yang Kami membuatkan nama seperti ini sebelumnya." (19:7).
Semasa kanak-kanak lagi Nabi Yahya telah dipimpin oleh Allah. Lalu dia menjadi pandai, suka membaca Kitab Tuhan, takut kepada Tuhan, taat kepada ibu bapa, dan dia, tidak sombong dan ingkar.
Firman-Nya:
"'Wahai Yahya, ambillah Kitab itu dengan kekuatan"; dan Kami memberinya Putusan semasa kanak-kanak lagi; dan rasa belas kasihan daripada sisi Kami, dan kesucian, dan dia bertakwa; dan seorang yang taat kepada ibu bapanya, dan dia tidak sombong, ingkar. Kesejahteraan ke atas dia, pada hari dia diberanakkan, dan hari dia mati, dan hari dia dibangkitkan hidup," (19:12-15).
Renungkanlah nilai-nilai murni yang terdapat pada diri Nabi Yahya di dalam ayat-ayat tersebut.
Demikianlah sebuah kisah mengenai seorang Nabi semasa dalam alam kanak-kanak. Kisah itu menjadi teladan bagi semua manusia.

No comments: